.::lafaz yang tersimpan (khas buat ayahanda dan bonda tercinta)::.

renungkanlah..^_^

Monday, December 28, 2009

pancaran akhlakmu terlukis di ruang mataku..

'''''''''''''''''''''''''''''''''''''
aku masih mencari
tapi aku tak pasti
dan cinta yang hadir
tidak akan ku lepaskan
kerana diri ini milikMu
~Rita~

'''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''

Rita membetulkan ikatan tudungnya, rambut hadapan yang keperangan dikeluarkan sedikit menutup sebahagian kening yang dibentuk, gaya mama bisik hatinya. Kerongsang permata dan mutiara labuh melengkapkan penampilan rangginya. Baju yang sedikit ketat ditarik ke bawah, bagaikan jelas menampakkan bentuk tubuhnya yang sedikit berisi.

Kita mesti berani bergaya, kita tak boleh jadi orang lain, mesti ada pendirian!Itulah antara lintasan jiwanya jika merasa janggal dengan penampilan sebegini di surau. ermmm...

"Adik, boleh akak solat di sini?"pinta seorang gadis yang berpurdah. Tidak nampak senyumannya tetapi pandangan yang bercahaya itu nampak manis sekali. Rita sedar surau di pasaraya ni agak penuh, dia mengundur ke belakang.Beg galasnya ditarik dan segera mengeluarkan beberapa barang wanita.

Rita mula bersolek, wajah kosongnya dicalit gincu jingga, pembayang mata 3 warna, pemerah pipi serta tidak ketinggalan penyegar, pelembab dan bedak asas. Begitulah rutin yang dijaganya untuk tampil anggun.Akhir sekali sedikit semburan pewangi melengkapkan keyakinannya.

Dalam pada itu dia juga asyik memerhatikan gadis di hadapannya. Kecantikan semulajadinya terserlah sewaktu membuka tudung. Wajahnya nampak berseri tanpa perlu bersolek, Rita merasa cemburu.

Segalanya hitam, adakah hitam itu menawan. getus hatinya setelah melihat gadis tersebut bersiap untuk keluar dengan menyarung stokin hitam. Mungkin perasan diperhati dia menghampiri Rita.

"assalamualaikum..."tangan yang dihulur disambut. Erat bersalaman.
"adik seorang yang cantik, tetapi lebih cantik jika adik menutup aurat sepenuhnya." Tuturnya sopan.
"uh, ini gaya saya. saya tetap seorang muslimah yang menjaga solat."
"alhamdulillah..."

........................

"kenapa aku memilih penampilan sebegini, adakah kerana mama, kerana Fifi,Siti atau Noni. ah, aku takde masa nak tiru mereka! Aku ingin tampil hebat dengan gaya terkini tapi kenapa masih belum puas hati.." Rita berbicara sendiri. Selepas pertemuan dengan gadis 'hitam' tadi dirinya seperti mencari sesuatu.... aku hidup kerana siapa?

Rita seperti tiada haluan di pasaraya... dia yang senang berjalan sendiri melangkah ke butik... butik muslimah.

"betulkah aku seorang muslimah... semua baju di sini bukan citarasa aku. bencinya..." bentak hatinya selepas melihat koleksi busana dan jubah... "tapi kenapa aku di sini. belilah,hehe."

waaaa... Rasa nak menangis pakai jubah ni. Tak selesa, panas! Rita sememangnya tidak berminat dengan baju labuh... dia lebih senang berseluar untuk ke mana-mana. Ketinggalan aku kalau macam ni.

"kah,kah kah... apa mimpi kau beli jubah ni. Hari raya pun kita pakai kebaya. ini nak ziarah orang mati bolehlah." gelak kakaknya Rina selepas Rita menunjukkan jubah biru gelap bersulam yang dibelinya. Sebenarnya jubah yang mencecah ratusan ringgit itu cantik tetapi mereka sekeluarga tidak biasa dengan pemakaian sebegitu..

"Aku tak pernah mimpi pun nak beli. tapi selepas berjumpa dengan kakak ala arab tadi, teringin pula nak pakai. mana tahu entah-entah aku lebih cantik..."

"Rita... kalau nak lebih cantik. jom ikut akak pegi salon. kita set rambut. kau buang je selendang yang menyusahkan kat kepala tu. kita kan masih muda..."

"kak Rina... Rita sebenarnya ingin berubah."

.......................

Petang yang dingin,redup. Rita mengambil basikalnya untuk ke taman, di sana mungkin Sara sedang menunggu..

"aku rasa ada perbezaan pada diri kau ni, nak kata lebih kurus, tak juga. apa ya?" Sara memandangnya seperti ada suatu kelainan.

"Sara.. kalau aku berubah kau nak kawan dengan aku ke?"
"apa ni. kita dah lama kawan, kalau kau berubah jadi jahat pun aku ikut, hikhik."
Sara tergelak kecil di sebelahnya, di bawah sepohon pokok rendang. Angin yang bertiup lembut menggugurkan bunga-bunga kecil jatuh ke dalam tasik di hadapannya.

"aku nak pakai tudung labuh."
"apa kau merepek ni, janganlah macam ni, sedih aku."
"sedih kenapa pula, aku nak buat baik pun kau sedih"
"er, buat baik ye."

Tekad Rita dikhabarkan pada Sara. Sebagai seorang sahabat yang sudah lama mengenali Rita, dia menasihatkan agar kawannya itu berfikir panjang.

"Bukan apa, aku bimbang nanti kau tak sanggup nak kekal bertudung labuh. sekadar main-main. kau dah berskaf ni pun dah kira ok."

"itulah... tiba-tiba datang seru untuk aku bertudung labuh. mungkin ini hidayah..."

"Rita.. kau tak sesuai bertudung labuh, aku rasa lucu je. kau dahlah tak sekolah agama, mama kau pun...ops. maksud aku nanti orang kata kau ni masuk ajaran sesat ke."

"jadi kau tak suka."

"tak" jawab Sara selamba sambil mencampakkan batu kecil ke dalam tasik.

...............................

Rita... jika kau ingin berubah ke arah yang baik, teruskan. Cabaran dan tentangan mungkin ada, terpulang untuk kau hadapi atau tolak tepi. Hidayah ini satu anugerah, tidak datang selalu, tapi kau bukalah hatimu agar kau lebih faham, bukan ikut-ikutan.

Entah dari mana datangnya bisikan itu, Rita yang terpana terkebil-kebil sendirian di atas katil. Kenapa tidak, aku ingin berubah. Bukankah aku tak pernah nak ambil kisah apa orang kata. Esok aku nak.... Rita mula bersemangat dan membina azam baru.

Kawasan ini nampak sunyi, dalam samar-samar di kejauhan, Rita ternampak satu cahaya. Dia berlari ke sana...

Ada seseorang di situ. seorang gadis serba putih... siapa? Rita tidak dapat melihat wajahnya yang terlindung disebalik tudung yang labuh. Nampak tawaduk dia bersimpuh di dalam taman yang dipenuhi bunga-bunga segar dengan tangan memegang tasbih. Damai sahaja kawasan ini...

Tiba-tiba dia menoleh ke arah Rita... subhanallah.

..................

Rita tersedar dari tidur. Aku bermimpi...
Dia meraup wajahnya, memandang sekeliling... mimpi apakah ini, adakah mainan tidur atau satu petunjuk. Matanya seakan segar untuk tidur kembali...

di sepertiga malam ini,,,
dia bingkas berwuduk.

Entah kenapa air matanya mencurah-curah. terasa diri menanggung banyak dosa dan kejahilan... Rita menadah tangan berdoa semahu-mahunya. Di tikar sejadah itu jugalah dia melabuhkan pembaringan sehingga hujung subuh.

.....................

3 missed call

'Haikal'

Rita mencampakkan bantal garfieldnya. huh, hari dah meninggi, biasalah hujung minggu..

1 mesej masuk. Rita membaca di skrin telefon bimbitnya.

'hi my sweet, malam ni i jemput u.. tiket dah beli!' dari Haikal.

Rita teringat, memang dia ada berjanji untuk menyaksikan konsert akhir akademi sms tu... tapi,, apa alasan aku.. aku bukannya minat sangat nak pergi, setakat tengok bakat baru yang tah sape-sape tu... bukan pujaan aku. luahnya sendiri.

'maaf kurang sihat, u bagilah tiket tu kat sesape.. '
balas Rita. abang angkatnya ini bagaikan teman tapi mesra..

..............

"Bila keyakinanku datang
Kasih bukan sekadar cinta
Pengorbanan cinta yang agung
Kupertaruhkan

Maafkan bila ku tak sempurna
Cinta ini tak mungkin ku cegah
Ayat-ayat cinta bercerita
Cintaku padamu

Bila bahagia mulai menyentuh
Seakan ku bisa hidup lebih lama
Namun harus kutinggalkan cinta
Ketika ku bersujud.."

Rita menyanyi sendirian, di bilik air.
Baginya lagu ni mengasyikkan, sekali dengar dah jatuh cinta. sayang dia belum lagi membaca atau menonton filemnya...
tapi Rita perasan... ada watak yang berpurdah. aku nak selongkar siapa dirinya!

.........................

Rita memerhati susunan novel di kedai buku sarjana... emm mana novel ni, takde ke.

"nak tanya, novel bertajuk 'ayat-ayat cinta' tak ada ke?"
"baru habis dik, nanti akan sampai stok baru. tak nak baca novel-novel lain tulisan Habiburrahman.." jawab seorang lelaki di kaunter.
"er... takpelah. nanti saya datang lagi.."
"ni ada promosi novel baru, 'permata terindah' tulisan siswi al-azhar dari Malaysia" lelaki itu sempat menawarkan sesuatu.
"novel apa ni, tak kenal pun penulis ni. sebenarnya saya bukannya hantu novel." Rita membelek sekadarnya.
"atau awak nak pinjam novel saya, saya dah bacanya dua kali." kali ini lelaki itu menghulurkan novel yang Rita cari-cari.
"eh biar betul. saya boleh membelinya nanti. terima kasih la ye." Rita tersenyum, dia pun tersenyum.

………………………

Rita mengesat air matanya...

Sedihnya kehilangan cinta hati... Kenapalah menaruh hati pada orang yang tak pandai menilai cinta, inilah dugaan naluri..

Takkanlah si Fahri ni tak perasan! yang si Maria dan Nurul perasan lebih-lebih sampai terlebih berharap ni pehal. Aisha juga yang dapat dulu.

Aisha? wanita berpurdah dalam filem ni. Rita sedang layan menonton filem 'aYat-aYat cinTa' di komputer ribanya. Siang tadi dia sempat membeli cdnya di bandar.

Apa istimewanya Fahri sehingga dia menjadi rebutan, Rita cuba menyelami sifatnya. Rasanya, Aisha yang merisik Fahri, hehe. Bertuah pilih Aisha, dahlah cantik, beriman, kaya pula tu! dah jodoh...

Tapi kasihan... kasih yang baru berbunga dihantui dengan fitnah yang menggemparkan. Fahri memperkosa.... dan kerana inginkan saksi utama.... Fahri menikahi Maria yang tidak sedarkan diri. Ada cinta antara mereka…. Dan cinta Ilahi menyatukan mereka.

Air mata Rita tumpah lagi... tak tahan kenang bila isteri pertama sanggup mengizinkan suaminya berkahwin lagi. Pasti terbit cemburu... tapi kenalah sedar diri.

Rita menarik nafas, ermm.. ada yang kurang dengan watak Mas Fahri,apa ya? Adakah seperti ini suasana pembelajaran di Mesir, kehidupan rakyatnya…huhu. Kenapa perwatakan Nurul agak kelucuan, pasti melencong dari naskah asal novelnya. watak Aisha yang bijak pun masih ada kelemahannya... dan adegen yang ehem pun terselit juga... bagus! filem ni jauh lebih baik daripada lambakan filem cinta yang lain. Lain daripada yang lainlah. Kesimpulannya seronok sangat sebab dah habis tengok cerita ni sorang-sorang, tapi kalau dapat tengok wayang dengan seseorang lagi syahdu. Rita menghuraikan sendiri mengikut perasaannya...

Sebenarnya ada satu perkara yang mengusik jiwanya, madu... pahitnya. sampai hati papa... air mata Rita tak mampu ditahan lagi.

........................

"kenapa lambat turun makan, mama dah simpan gulai ayam tadi. Sayang ambil sendiri ya.." sapa mama lembut melihat anak bongsunya yang lambat ke dapur. dia dah maklum sangat perihal anak gadisnya... lagipun dia sebenarnya selalu makan di luar.

Rita tersenyum memandang mamanya. sebenarnya dia baru melayan perasaan hiba mengenagkan papa yang telah lama tiada di sisi.. sejak berpisah dengan mama dan menetap di luar negara.

"mama tak ke mana-mana malam ni?"
"tak sayang, mama penat, siang tadi pergi shopping dengan mama Fiza. Rita kata nak tengok konsert kan?"
"tak.. rasa kurang sihat."
"baguslah tak pergi. di kaca tv pun ada siarannya... kakak kamu dari petang tadi tak balik, risau juga mama."
"kak Rina tu biasalah, mama tak payah risau." sebenarnya dia sangsi juga dengan kakaknya yang agak sosial.

Kadangkala rimas dengan suasana keluarga yang begini. sejak kecil mereka dua beradik diasuh oleh bibi yang bertukar ganti. Mama selalu sibuk dengan kerjanya di pejabat. Namun begitu, pendidikan, kesihatan dan berlibur sentiasa menjadi perhatian.

mama seorang wanita yang tabah, kelebihannya dia tak suka marah. bahkan Rita tak pernah tahu jika mama pernah bertengkar dengan papa. Rita juga tidak membenci papa, bahkan dia selalu mendoakan kedua ibubapanya.

adakah jiwa ini kosong... tidak. Rita tahu mengisinya,,

perutnya mula berkeroncong, tapi seleranya kurang. pandai-pandai dia membuat tempahan pizza..

............................


"baru balik kak..." Rita menjeling kakaknya seimbas selepas melirik ke arah jam yang menunjukkan pukul 2 pagi.

"seronoknya... baru pukul 2.." Rina duduk di sebelah Rita yang masih menonton televisyen di ruang tamu.

"eh tadi aku nampak Haikal, ingatkan dengan kau. rupanya... baik kau putus je dengan dia." kakaknya membuka cerita.

"putus apa? suka hati je kakak ni fikir yang bukan-bukan." seakan malas dia ingin mengetahui kisahnya.

"tak sangka Haikal tu kaki perempuan, berkepit sampai 2 orang betina."
"sebenarnya kak Rina ni dari mana? disko?" macam berapi je nak terima hakikat ni.
"akak lepak je di situ, maklumlah awal lagi. Rupanya Haikal pun ada di sana."
kak Rina mengeluarkan sesuatu dari beg tangannya.
"ni kau tengok, akak sempat ambil gambarnya dari handset."
Pening kepala aku dengan kak Rina ni. Dahlah dia pun tak betul sibuk mengkaji keburukan orang lain. Arghhh... sebenarnya Rita ada rasa tak puas hati pada Haikal.

Benar... itulah Haikal. astagfirullahalazim...

Hati ni terasa panas...

Rita mengetip bibir. Lelaki memang tak boleh percaya! Lelaki banyak yang dayus! Lelaki suka merosakkan perempuan! Lelaki sangat egoooo..

Benarkah?

Atau perempuan adalah puncanya...

Aku takkan jumpa kau Haikal, aku tak sanggup berkawan dengan lelaki yang melampau, lelaki yang fasik, munafik. Rita tidak mampu mengawal geramnya apabila mengetahui keterlanjuran Haikal bukan yang pertama.

"bagilah aku peluang untuk menjelaskan..." rayu Haikal di hujung talian lewat selepas dia berdolak dalih.
"jelaskan apa, memang dah jelas. bahkan kau nak nafikan."
“sayang… janganlah macam ni. i janji tak buat lagi.” meluat sekali mendengarnya.
“itu bukan soalnya. Kau pergilah cari yang lain, aku dah tak suka.”
"okey, kau ingat kau tu baik sangat. keluarga kau tu betul sangat!"
sakitnya hati aku.."kau jangan babitkan keluarga aku. sekarang aku benci kau!" jerit Rita.
Talian dimatikan. ternyata Rita terlalu ikutkan perasaan, hatinya seakan memberontak. Berdarah..

Aku tak perlukan lelaki dalam hidup ini. Lelaki mengecewakan...
tanpa lelaki, adakah aku di dunia ini...
Rita muhasabah diri untuk menyejukkan hatinya kembali.

............................

Jendela dikuak luas... angin petang yang panas menerobos masuk ke kamarnya.
Rita mencampakkan dirinya dengan longlai ke atas katil. dek termenung memanjang kepalanya pusing. 2 biji panadol telah di telan.

Matanya menyorot ke arah balang kaca di atas meja sudut. Anak-anak ikan emas bagaikan menari-nari tenang didalamnya, seperti bebas walaupun sebenarnya terkurung.

Rita memasang radio, kumpulan Ungu dari seberang mengalunkan lagu’ sesungguhnya’. Rita bagai tenggelam dengan liriknya... dia mencari siaran lain apabila lagu jiwang mengambil tempat.

untuk menjadi baik... kita perlukan persekitaran yang baik. kawan-kawan yang baik.
Rita diam memikirkannya.

Lagu nasyid berkumandang.. tak pasti kumpulan apa.
nasyid... nasyid.... nasyid... inilah yang aku mesti dengar.
semoga ada keinsafan yang mengalir di dalam diri ini, lirih Rita.

Dia tetap dengan siaran yang baru diterokanya. IKIM.fm, 'pilihan utama anda'.

Rita mencapai majalah yang baru di belinya. majalah hiburan.
wajah penghias kulit kali ini cantik bertudung... Sebelum ini dia adalah antara artis yang berani terdedah, selepas memilih untuk bertudung penampilannya lebih tertutup.

Rita mula menyelak helaian utama, walaupun bertudung gaya seorang selebriti masih kuat. masalahnya Rita tak pernah perasan album atau filem minah ni, tapi dia popular kerana gosip.

Tajuk bulan ni memang menarik baginya... tudung oh tudung.

'saya tak mahu hipokrit'
A yang selama ini bertudung telah berubah penampilan selepas bercerai dengan menggayakan rambut palsu.

'doakan saya bertudung'
B masih belum bersedia untuk bertudung kerana kedudukannya tidak mengizinkan walaupun telah 8 kali menunaikan umrah.

'itu hanya lakonan'
C tetap dengan penampilannya yang gila-gila meskipun selalu melakonkan watak perempuan baik yang bertudung.

apa ikhtibar yang aku dapat. Rita merenung sendiri...
jika nak ikhtibar bukan baca majalah hiburan, aku kena cari majalah yang berunsur agama sikit. sungguh... aku nak berubah.

Majalah tersebut masih dibelek-beleknya sehingga habis. Dari cerita bahagia sehingga duka artis dipaparkan. Buang masa je nak ambil tahu semuanya..

...........................

"bestnye..tq, tq."

Rita menyambut buah tangan yang di bawa oleh Sara. Buah jambu madu kegemarannya.

"aku datang ni sebab nak rasa kek pandan yang kau buat tu, jadi ke."

"mestilah jadi, jadi kek coklat, hehe. eh, masuklah buat macam rumah aku."

"aku ade berita hangat ni, nah baca akhbar tu."

'Pelajar bertudung labuh di tangkap khalwat'

Rita terkesima membacanya seketika.

"jadi?"

"inilah yang aku bimbangkan. kita suka set di minda orang yang bertudung tu baiklah, berakhlaklah. hah tengok. Aku tak kata tudung tu salah, tapi perangai mereka tu kadang-kadang lebih teruk. Jadi bukanlah itu ukuran iman kita.”

"ini cuma kes terpencil jika nak dibandingkan dengan masalah sosial yang sebenar."

“kau percaya tak jika aku kata orang yang bertudung labuh ni sombong.”

“tak terfikir pula. Aku anggap mereka lebih baik dari kita.”

“haha.. sebenarnya aku anti dengan kumpulan Safia si tudung labuh tu. Tak boleh selisih pasti mereka tenung aku semacam.”

“hek eleh kau ni. Mereka tu oklah. Mereka ada jiwa dakwah sebenarnya, tak suka tengok kemungkaran.”

“itu dakwah perasan baik…aku susah nak terima.”

“dah-dah, tak baik mengata.”

" kau renunglah balik Rita, keputusan nak bertudung labuh tu. Tudung labuh cuma budaya orang arab, di sini kita ada tudung bawal."

"tudung bawal yang labuh pun tudung labuh juga kan," Rita mengusik kawannya yang berkaca mata tu.

"aku ada terbaca dalam internet, sebuah pertubuhan agama diharamkan kerana disyakki terpesong akidah sedangkan penganutnya berpakaian tutup habis. kau tak nampak bahaya tu, jangan pandang luaran sahaja." Sara bersuara seperti dia terlalu arif tentang Islam.

Rita diam, matanya merenung jauh. Apa yang aku cari sebenarnya... Ya Allah ikhlaskan hatiku.

........................

Rita menyusun langkah, suasana yang agak sepi terasa bagai dirinya diperhati. Salah tempat ke...

Dingin dan tenang.. jarang sangat nak masuk ke sini. matanya terus mencari-cari sehinggalah tertumpu pada satu bahagian.

Dia menghampiri rak buku-buku agama.
Inilah yang aku cari... aku nak cari apa? tajuk apa ya, banyak sangat ni. terasa nak baca seluruh buku di perpustakaan ni, maklumlah kurang ilmu.

Dua, tiga empat hampir tujuh buku dipunggahnya dan membawa ke atas meja. mampu ke nak baca semuanya. inilah semangat... jika sebelum ni macam tak sentuh pun buku agama.

Belum sempat dia mula membaca, tiba-tiba seseorang menegurnya.
"sorang je.."
Tersentak dia terkejut, mak oi siapalah yang tak bagi salam ni!
macam pernah ku jumpa tapi di mana ya...

"sorang je..." dia mengulangi soalan tatkala melihat Rita seakan terpana. Rita sedang mengingati gadis di depannya ini. Haaaa baru ingat!

"Ramai...." jawabnya bersahaja melepaskan terkejutnya. Dia tersenyum memandang sekeliling.

"kenal tak? Suri... Suriyani." dia memperkenalkan diri sambil menghulurkan salam mesra.

"mana boleh lupa musuh aku ni, hehe. hampir tak kenal tadi, dulu pakai tudung labuh."

Suri adalah pemain bola jaring wakil sekolah agama Darul Huda. Rita wakil sekolah Bandar Aman berentap hebat untuk menjuarai pertandingan peringkat negeri namun tidak disangka tewas dengan pasukan tudung labuh! yang pasti mereka tak masuk peringkat kebangsaan.

"tudung labuh tu tradisi sekolah, yang penting menutup aurat. wah... rajinnya menelaah buku agama."

"aku ni kurang ilmu agama... lainlah awak dari sekolah agama." sibuk pula dia ni, getus hati Rita.

"ilmu tanpa amal ibarat pokok tanpa buah. Teruslah mendalami agama semoga awak jadi lebih baik dari saya." Suri seakan memberi semangat.

ya... aku nak jadi lebih baik dari korang semua. Rita meneruskan bacaan walaupun kadangkala seperti tidak masuk ke dalam kepalanya.

insyaAllah..

.....................

naskah kecil al-Ma'thurat & surah Yasin serta terjemahan yang baru dibaca didakap ke dada.. Rita teringat pesan arwah tok wannya,
"jika tidak mampu membaca al-Quran setiap hari, janganlah ditinggal baca Yasin di malam Jumaat. ada berkatnya." tok wan juga selalu bekalkan dirinya air Yasin,
"dengan niat, jangan lupa selawat. insyaAllah sembuh penyakitnya."
itulah ikhtiar terakhir Rita selepas hampir dua minggu dia terlantar di hospital akibat demam panas.

Air mata Rita mula bergenang.
Saat dirinya jatuh sakit selepas pulang dari pendakian gunung Senyum, tokwanlah yang setia menemaninya di sisi. Hampir setiap malam dia membacakan surah Yasin semoga cucunya cepat sembuh.

Air matanya menitis.
Bila tokwan sakit, Rita jarang dapat pulang ke kampung. sewaktu mengikuti kursus PLKN, dia dikhabarkan berita yang amat pahit untuk diterima... tokwan sudah mengadap Ilahi. Rita yang teramat sedih bagaikan meraung di pusara tokwan, sedih kerana dia tidak dapat membacakan Yasin disaat akhir tokwan di dunia.

"ingat cu... solat jangan ditinggal. solat tu tiang agama..." antara pesanan terakhirnya.

Rita mengesat air matanya yang mula reda. dari Allah kita datang, kepada Allah kita kembali.

Tangannya ditadah, memohon pada yang satu.

"Ya Allah ya Tuhanku..
ampunilah segala dosaku
aku hambaMu yang lemah
ingin mengadu dan memohon hanya padaMu
kuatkanlah diriku untuk menghadapi cubaan dunia ini
janganlah hati dan diriku tersasar
dari landasan yang diredhaiMu
masukkanlah aku ke dalam cahaya iman
bersama hambaMu yang bertaqwa

Ya Rahman Ya Rahim..
aku malu Ya Allah
aku bukanlah hambaMu yang bersyukur
aku sering mengikut nafsu
aku lalai lagi jahil
ya Allah pimpinlah aku
aku perlukan petunjuk dariMu
aku ingin menjadi anak yang solehah
muslimah yang sejati

Ya Allah bimbinglah kami...
amin ya rabbal alamin...."

bukan mudah untuk berubah... dengan rahmatMu semoga dipermudah...

..................

Bagaikan mimpi dia dapat terbang ke sini..
Aku yang hina ini mampu menjejak bumi suci, syukur yang tak terhingga. rindu yang semakin membara bagaikan tidak dapat dibendung, semakin mengenalimu aku semakin mendamba cintamu. inilah natijah permulaan hijrahku... kata-kata yang bermain di jiwanya.

"sempena hari lahir Rita, sayang hajatkan apa?" mama memberi peluang untuknya meminta hadiah..

Berat mulut untuk menzahirkan impiannya.. Ditatap wajah mama, dipandang rupa kak Rina. Dia memejamkan mata. Bismillah... semoga diterima.

"Rita nak menunaikan umrah bersama mama dan kak Rina. Rita teringin sangat... mama, sungguh inilah hajat Rita. Rita tak nampak yang lain. Kita semua pergi ke sana, beribadah sebaiknya dan memohon kesempurnaan iman."

Tak sangka air mata mama mengalir.. dipeluk anak kesayangannya.
"impianmu sangat indah, mama usahakan." Benarkah apa yang aku dengar.
kak Rina seakan tunduk ke lantai. Rita terasa ingin sujud syukur. Alhamdulillah..

Rinduku terubat ketika berada di sini. Cintaku pasti tidak sia-sia. Tidak mudah mendapat peluang sebegini jadi setiap saat amat beharga untuk meraih sebanyak mungkin keberkatan di kota suci ini. KeredhaanMu yang kami cari.. Air mata mudah mengalir mengenang rahmat kasih sayangMu Ya Rabbi.Rita terharu melihat mama dan kak Rina yang indah berjilbab dan tekun beribadah.

Kerdilnya diri ini dalam lautan umatmu yang terus menegakkan syariat yang kau tinggalkan... Pancaran akhlakmu terlukis di ruang mataku. Kekasih Allah... Selawat ke atasmu.

Tidak mudah untuk berada di jalan kebenaran. Jihad ini belum selesai…


**********************

“Kenapa susah-susah belikan semua ni. Terima kasih…” Sebenarnya aku tak pakailah, kalau menolak nanti tak baik pula. Sara membuka pemberian Rita. Sepasang jubah abaya dari kota Madinah dan tudung turki buatan India.

“Cantik kan, aku tahu kau suka warna hijau lumut, puas aku cari yang sesuai untuk kau yang kecil molek ni.” Rita seronok dapat menghadiahkan sesuatu buat sahabatnya itu. Bukan selalu dia dapat ke sana, terasa ada keberkatan daripada barang yang dibelil di tanah suci.

“Aku malulah dengan kau Rita, dengan penampilan sebegini kau dah jadi lain.”
Sara menerbitkan rasa yang ingin dinyatakan. Rita ni kalau nak berubah janganlah drastik sangat, buat malu je. Sara rupanya tidak suka Rita bertudung labuh, tetapi dia menghormati pendirian kawan baiknya itu.

“Biasalah kita perlu berubah dalam hidup ini. Antara berubah kearah kebaikan atau keburukan.” Sebenarnya Rita juga malu jika ada yang cepat merasakan dirinya baik sedangkan dia hanya melakukan sedikit perubahan. Bertudung labuh.

Sebelum ini Rita sangat suka mengenakan tudung separuh ala menunjuk, kini selepas menunaikan umrah dia nekad untuk mengenakan tudung yang agak ringkas dan labuh lagi menawan, rasa ada kelebihan yang tersendiri.

Sejak mengenakan tudung labuh Rita semakin mendekati majlis ilmu dan agama. Apa-apa program yang dianjurkan pertubuhan berunsur agama Rita sedia sertai, dia juga mendapat sokongan daripada seseorang. Seseorang yang mula menambat hatinya dengan budi yang luhur.

Mama dan kak Rina masih selesa dengan penampilan dahulu, mama menutup separuh sanggul dan kak Rina, erm… baik sikit je dari dulu, dah tak pakai singkat.Kalau dulu… Kak Rina selalu pakai baju tak cukup kain, kain tak cukup jahit, maklumlah bila rambut bebas pakaian pun bebas. Sekarang… tak nampak pula mana baju-baju ‘seksa’nya itu.

“Rita ni memang rambang mata, tak ada citarasa, semua tudung diborongnya. Hahaha.” Kak Rina tampil untuk mengutuk! Rita sudah biasa dengan usikan sebegitu.

“Dia nak buka perniagaan tudunglah kak Rina.” Sara juga tumpang mengusik. Rita menarik senyum seakan mengiyakan saja apa yang mereka lontar.

“Kamu setuju tak aku nak mulakan perniagaan tudung, tudung versi gadis moden. Aku reka, kak Rina jadi orang kuat dan Sara jadi modelnya.” Rita menunjukkan muka bersungguh.

Kak Rina dan Sara saling berpandangan. Nak ke?
“Boleh buat duit.. Boleh glemer Sara.” Niat itu sebenarnya baru menjelma, sengaja diasak kepada mereka kerana Rita ada niat lain. Semoga mereka bertudung.

"Ish kau ni Rita, banyak lagi perniagaan lain yang lebih menguntungkan."
Kak Rina awal-awal sudah mengangkat tangan. Budak ni mimpi apa lagi, fikirnya.

"Versi tudung labuh ke? tidaklah aku.." Sara pun nak undur juga. Dia ni bermasalah dengan tudung labuh, rendah orangnya.

Rita menerpa mana-mana idea yang muncul.
"Kita tengoklah pasaran sekarang.. banyak sangat jenis-jenis tudung yang menggambarkan betapa besarnya permintaan."
"Rita akan reka tudung yang mudah, kemas dan cun."
Rita menzahirkan lagi kemahuannya.

"Sesuai untuk golongan yang macam mana?" Sara terlepas soalan.
Golongan yang macam kamulah. "Golongan yang amat menitik beratkan penampilan, keanggunan, keunggulan dan pastinya generasi muda yang terkini."
Rita mengukir senyuman menggunung.

Kak Rina cuba membayangkan sesuatu, "okey, sebelum ada kata putus, buatlah kertas kerja dan rekaannya sekali. Jika menarik minat, akak nak jadi pengguna pertama."
Hampir mengena dah pancing ni. Rita perlu melangkah lebih berani.

………

"Tugas kita tidak sampai memberi hidayah, tetapi sampaikan nasihat dan ilmu syariat dengan ketrampilan akhlak kerana Allah Taala."
Jaid menyimpulkan hasrat Rita. Rita merenung sebentar sebelum mendongak meminta saranan.

"Kita tak paksa, kita tak ada upaya nak buka hati mereka dengan kesedaran tentang kepentingan menutup aurat ni, jadi jalan lain kita beri mereka pilihan dengan cara tarikan."
Rita memandang Jaid di hadapan yang tidak menatap wajahnya.
"Bila kita cerita tentang azab mereka yang tidak memakai tudung... pandai pula mereka nak kaitkan ikhlas, Allah pandang pada hati bukan rupa. Tak takut langsung perihal dosa tu... bila disentuh tentang gaya dan merapu, baru mereka buka minda nak cari kelebihan dunia..." Rita mengulas lagi tentang pendekatannya.

"Dari satu sudut, menarik juga ilham kamu tu. Mungkin ini satu permulaan. Jaid sokong dari kanan." Jaid menyimpulkan senyuman, senyuman yang bagaikan manisan buat Rita.

"sayang Jaid.." eh Rita tak kata pun macam ni. Dia kata "Itu yang Rita harapkan.."
“nanti kita bincang lagi, nak Jaid hantar pulang?”
“naik moto?” “salah ke naik moto? Saya ada lesen.”
“bukan kesalahan trafik, tapi kesalahan… seganlah!”
“Jaid pinjam motokar abang, segan duduk depan duduk belakang..”
“yelah tu.. takpelah, Rita dah janji dengan kak Rina.”

…….

"Siapa Jaid tu Rita?" Soalan terjah daripada kak Rina.
"kawan" jawapan yang mudah.

"berkawan biar beribu... berkasih biar satu." Kak Rina nampak bersahaja tetapi seperti ada maksud yang terselit.

"kawan Rita boleh dibilang kak... "
"kekasih kakak pun boleh dikira... hahaha." itulah kak Rina, ada masa tak betul.

"kak Rina tak serik ke banyak kekasih ni?"
"amboi... dia tu, tak serik menaruh kasih?"
Kak Rina selalu tak nak mengalah.

Rita teringatkan Jaid. Lelaki yang pemurah dengan senyuman itu, senyuman itulah yang menyemai rasa kasih untuk senang 'digoda' menerima kehadirannya sebagai kawan.

Jayyid Furqon atau Jaid, seorang pembantu di sebuah kedai buku. Kehadiran Rita kesekian kali telah diperhatikan olehnya, nampak seperti seorang yang pendiam tetapi telah menegur Rita, "Cantik sekarang pakai tudung labuh... Muslimah solehah." Muslimah solehah, kali pertama mendapat pujian sebegitu daripada lelaki yang tidak dikenali. Senyuman ikhlas darinya gagal ditepis, meresap terus ke hati dan sukar dilupakan. Maka bibit perkenalan semakin mekar menjadi persahabatan. Kini, lelaki itu disandarkan satu harapan.

"Kita tak pandailah nak buat lakaran, tahu bagi cadangan je, Jaid pandai melukis kan. Bolehlah... Tolong buat satu rekaan untuk koleksi Rita."
"Jaid tak pandai."
"Kita mahu nilaian orang lelaki yang suka wanita bertudung ni."

Jaid merenung mata Rita, renungan yang dalam. Rita terkedu dan mengalihkan pandangan, tak pernah Jaid pandangnya begitu. Semacam je.

"Kerana cinta Jaid sanggup lakukan.." perlahan tapi jelas di pendengaran Rita.
"Hoi, cinta apa ni." Rita terperasan.
"Cintakan agama. Jaid suka jika semua muslimah ada kesedaran dalam pemakaian tudung ni. Demi agama lakan??"
"Ya... Cinta." Tersangkut pula ayat Rita ni.
"Cinta?" Jaid berpusing soalan. Lah... Melalut pula.
"Tudung!! Demi cinta pada agama, Jaid sudi buatkan untuk Ritakan."
Jaid ketawa kecil sambil mengangguk, Rita ketawa besar. Macam-macam mereka ni.

......

Rita berdebar, tak sabar rasanya ingin melihat hasil lukisan tudung dari Jaid. Mereka telah berjanji bertemu di tempat biasa.

"Ingat... Rekaan tu mestilah yang ada gaya dan kelainan. tak cantik pun takpe janji ia hasil kreativiti Jaid. Kita akan cari fabrik dan buat sulaman labuci."
"insyaAllah.. tangan seni ni akan melakar setulus hati."

Bukan Rita tidak mahu melakar rekaan sendiri, tetapi dia suka jika sahabatnya itu mengambil bahagian dalam usahanya ini. Bukan keuntungan sasaran sebenar Rita, bahkan dia sanggup rugi jika perkara ini tidak menjadi, tetapi dia mahu mencuba. Sasarannya adalah kak Rina, Sara dan mama tersayang.

Kenapa tak sampai lagi ni, tadi dia juga yang suruh kita cepat kerana katanya dah keluar. Ni dah nak beruban menunggu, melencong kemana pula si Jaid ni. Rita mula panas, jika lambat beritahulah. Dia cuba menghubungi tetapi tidak diangkat. Kamu mainkan aku ke Jaid, Rita mula berfikir yang bukan-bukan. Aku baliklah!

Irama deringan dari telefon bimbitnya menghentikan langkah. Segera dijawab..
"Kita nak balik dah ni. Kenapa.... er, waalaikumussalam. Ye saya. Apa?!!"
Jantung Rita bergegar dan luruh. Innalillah... Rita segera menuju ke hospital. Geram pada Jaid bertukar keharuan.

"lama tunggu?"
"baru 45 minit."

Jaid duduk dihadapannya, memesan minuman. Nescafe tarik kurang susu tambah madu.
Rita sebenarnya dah habis segelas teh ais. Dah khatam sebuah novel mini.

"Bagus ke novel tu, selalu sangat nampak Rita beli novel, minat bercinta ya.."
"Minat. Novel ni sebenarnya kisah kehidupan, merangkumi kisah pengalaman, kekeluargaan dan perhubungan. Termasuk hubungan dengan Tuhan."
"Hubungan dengan Tuhan? Jika nak lebih baik bacalah novel yang diwahyukan, luang tak masa membaca kalam Tuhan." Ini yang Rita suka nak jumpa Jaid.

"Termenung nampak, teringatkan dia lagi ke?" Ah kak Rina. Rita membetulkan sandarnya pada bantal, kak Rina duduk disebelahnya. Jangan disebut tentang dia, nanti Rita menangis... Muka ni pun selalu nampak sembab.

"Kenangan dengannya mudah hadir kak, masih sukar percaya dia telah tiada." Walaupun telah seminggu Jaid kembali ke rahmatullah, kecelakaan yang meragut nyawanya kerana kecuaian orang lain itu sukar diterima. Hakikatnya ini sudah suratan.

"Akak pun tumpang bersedih." Sememangnya kak Rina menangis sangat waktu pengkebumian Jaid, katanya kenapa orang soleh yang masih muda pergi dulu walhal dia tidak pernah bersua dengan kawannya itu. Dengan ketabahan Rita berkata, kerana Allah lebih sayangkan dia.

"Dia seorang yang baik kak.. " Sudah berkali Rita menyatakannya, persahabatan yang cuma seketika itu telah mengalirkan kasih yang suci.
"Bertuah Rita dapat mengenali dan berkawan dengannya." Sayu juga suara kak Rina.
Benarlah semua ini suatu ketentuan. Rita tidak merancang mengenali dirinya dan tidak menduga akan berpisah dengannya.

"Kak nak tahu.. Tentang tudung. Jaid suka perempuan bertudung labuh.." Rita ingin meluahkan kisah yang masih disimpan.
"Masa kejadian, sebenarnya dia dalam perjalanan nak jumpa Rita. Nak bagi ini." Air mata Rita mula terbit. Lukisan potret yang dipegangnya terdapat kesan titisan air mata, tanda syahdu dengan hasil yang dimintanya. Sebenarnya lukisan itu pernah ditunjukkan sebelum ini, sewaktu menerimanya dari tangan abang Jaid. Tertulis di bawahnya.

'Rita.. Jadikanlah takwa pakaian terindahmu. Agar dikau bak bidadari yang dicemburui tanpa mempamirkan perhiasanmu. Terimalah seadanya dari Jaid. '

Andai Jaid yang memberikan lukisan berharga ini, tak terucap Rita ingin mengaguminya, tetapi saat abang Jaid menghulurkan benda ini, berderai air mata Rita menahan sedihnya.
"Jaid sangat pandai melukis, persis wajahmu Rita, bertudung labuh siap ada kalungan mutiara cuma menutup sebahagian muka." ya, Rita tahu dia pandai melukis, sebab tu Rita beriya menyuruhnya melakarkan sejenis tudung terkini, yang dihasilkan adalah tudung yang sering dipakainya cuma diletakkan niqob pula.

"Rita rasa bersalah... Jaid bersungguh menyiapkan potret ini sehingga dirinya terkorban, sedangkan Rita seperti tidak menghargai.. masih lupa diri. Bahawa kita semua akan mati kak." Sebak berkunjung lagi. wajah Jaid menjelma, terbayang akhlaknya yang memikat, sering menjaga waktu solat berjemaah dan mudah memberi senyuman sedekah.

"Bagaimanalah kesudahan hidup kita kan... adakah banyak dosa atau pahala."
"Layak ke masuk Syurga yang terbina untuk hamba yang bertakwa. Bersama selamanya dengan orang-orang soleh dan menerima salam dari yang Maha Pengasih."

…………

Beberapa pasu dialih kedudukan, rumput yang menumpang dicabut dan tanah digembur.
"Alahai pokok bunga, mengapa kau layu.. Sebab aku tak bagi baja ya."
Tanah dan ranting mati yang bertaburan disapu. Ada pokok hiasan yang sudah kuning dan ada juga yang merimbun hijau, perlu dicantas dan dibuang. Nampak sangat lama terbiar tak dijaga.

Rita sebenarnya kurang berminat, tiada masa atau malas untuk memberi penjagaan yang baik kepada taman di halaman rumahnya, tetapi kali ini dia ringankan tangan menjenguk persekitaran yang agak lesu itu. Malu dan cemburu juga dengan jiran sebelah yang mempunyai lanskap yang menarik. Di depan ni cuma ada sebatang pohon mangga yang rendang meneduhkan kawasan, banyak juga buahnya. Pintu pagar rumahnya pula diapit oleh sekawan pokok pinang merah. Ala-ala pokok kurma tu la.

Sedang asyik menyiram, sebuah kereta meluncur masuk selepas pintu pagar terbuka, siapa lagi kalau bukan kak Rina. Rasanya dia baru keluar..
"hai.. pergi mekap tebal, balik dah cair." Hatinya mengata.

Ada sesuatu yang tidak kena, kak Rina menutup pintu dengan agak kasar. Marahkan siapa? Rita membersihkan tangannya dan masuk ke rumah. Apa hal kakak aku ni, datang bulan pun tak macam ni.

"kak Rina.." Rita mengetuk pintu, terdengar pula sesuatu yang keras dibaling. Biliknya sudah kelihatan berterabur, wajah kak Rina merah dan rambutnya tidak terurus, teringat pula drama hantu malam tadi.

"astaghfirullah... gempa bumi ke ni." Rita terharu melihat gelagat kakaknya itu.
Dia nampak teresak di birai katil.. Rita mengutip beberapa bantal yang dijatuhkan, ada juga bingkai gambar yang pecah. Sah.

Rita duduk mengadap kakaknya.. menafsir sesuatu sebelum bertanya.
"kak Rina marahkan abang Jo ke?"
lambat dia menjawab.
"kalau kak marahkan dia, tak perlu sakitkan hati begini, menyusahkan diri. Dia buat apa kak?" Rita mengusap belakang kakaknya, tangisan itu sudah tiada. Mukanya mencuka.

"Akak baru nak sarapan dengan abang Shah, Tetiba abang Jo datang maki akak depan orang ramai. Kemudian dia simbah air ke atas kepala akak.. akak malu sangat."
Kak Rina menekup wajahnya, terasa peristiwa yang memalukan tadi sukar dilupakan.

Kasihan kak Rina.. Hatinya seperti terbakar kerana disimbah air.
"kenapa dia sanggup buat begitu?"
"sebab dia marahkan akak, dia kata akak ada lelaki lain."
Aduh... Bab main lelaki ni bahaya.

"Er, Shah tu siapa kak?" Kenapa pula kak Rina perlu sarapan dengan Shah.
"Akak baru nak kenal dengan abang Shah tu, sekarang dia dah tinggalkan akak. Jo tu pun sebenarnya kaki perempuan. Sengaja nak malukan akak." Kak Rina menumbuk buku limanya, jika ada kekuatan mahu saja dia bergaduh tadi, memandangkan dia perempuan ayu.. Mana boleh.

"Selama ni akak tak pernah malu ke berkawan dengannya? Akak pernah fikir tak pandangan orang melihat akak selalu berkepit dengan lelaki." Rita cuba menyedarkan sesuatu. Bukan tidak mahu menyokong tetapi perkara yang salah tidak boleh dibenarkan.

Kak Rina memandangnya. "Dia anak orang kaya Rita.." Mata duitan juga dia ni.
"kak Rina tak ada rasa bersalah ke?"
"Yelah, mungkin salah akak juga."
kak Rina bangun dan mencapai bingkai gambar yang sudah retak dihempas tadi. Gambar dia dan Jo dikeluarkan dan dikoyak-koyak.
"Akak benci dia. Dia ingat dengan harta dia boleh beli segalanya. Memaksa orang ikut telunjuknya."

"Syukur kak Rina tak apa-apa. Bimbang juga Rita jika ada perkara buruk yang berlaku. Sekarang kak Rina lupakan sahaja lelaki yang tak pandai hormat wanita tu."
Rita mula ingin menasihati.

"mudah nak lupakan orang yang kita benci, dalam hati nak saja memalukan dia pula."
cinta boleh bertukar benci.. maka cintalah sekadarnya dan bencilah sekadarnya.
"Sudahlah kak, tak baik ikutkan nafsu. Ingatlah pepatah, buat baik dibalas baik."
"Jika orang buat jahat, balas lagi jahat!" Cepat je kak Rina jawab. Orang dah tengah marah.
"Sabar kak, orang yang pemaaf ni hatinya tenang. Rita pun sebenarnya dah lama tak suka akak berkawan dengan abang Jo, rupanya kesilapan tadi ada hikmahnya. Semoga ada kekasih lain yang jauh lebih baik untuk akak.." Nampak ada segaris senyuman di wajahnya tanda hatinya sedikit terubat.

"Mari kak, Rita sisirkan rambut ni. Jika belah tepi cantik juga.." Rita cuba mengambil hati. Dia tahu hati kakaknya terluka tadi, masakan tidak malu disiram air di dalam restoran, depan rezeki pula tu. Mati selera, rasa nak makan orang pun ada.

Rambut panjang melepasi bahu itu diusap dan disikat, masih ada lembabnya.
"Rambut ni mahkota kak, ia perlu dipelihara. Bukan saja dijaga tetapi perlu juga dilindungi dari pandangan bukan mahram." sudah... Rita nak bagi ceramah.

Kak Rina senyap je.
"Setiap hukum yang disyariatkan semuanya untuk kebaikan hambaNya. Wanita yang menghiasi diri dengan akhlak terpuji, menutup aurat dan menjaga pergaulan lebih dihormati kak. Lebih mulia di sisi Tuhan. Lihat tadi, akak terasa hinakan diperlakukan begitu. Sebab akak tak jaga pergaulan, ada dua tiga pakwe." Terasa tangannya dicubit, alah beri nasihat yang betul pun tak boleh.

"Akak dah tak percayalah dengan cinta." Cepat kak Rina membuat keputusan.
"Bukan begitu kak, cinta itu tak salah yang salah diri kita yang gagal menafsir cinta."
"Wahai cik Rita yang pernah bercinta, tak pernahkah kau rasa cinta itu bodoh?"
Tak pandai pula Rita nak jawab. Lumrah remaja dimainkan cinta. Cuma sejauh mana insan itu membawa diri agar tidak terjebak ke lembah maksiat.
"Memang ada pepatah mengatakan cinta itu buta, bahkan ada yang bisu dan pekak. Itu cinta yang cacat kerana terlalu ikutkan perasaan sedangkan ada cinta yang bagaikan cahaya dan memberi kekuatan." Berkerut kak Rina memahamkan apa yang si Rita ni cakap.

"Beginilah kak, ada satu cinta.. yang kita amat memerlukannya kerana yang dicintai amat menyayangi kita. Kita takut kehilangannya dan sanggup memegang cinta itu walau apa taruhan sekalipun. Cinta itu membuatkan kita selalu mendampinginya, menyebutnya dan berazam untuk mengikut segala suruhannya. Segalanya kerana cinta yang bukan semua orang mampu memilikinya." macam teka-tekilah pula.

"Masa bercinta macam-macam madah berhelah keluar, dah putus entah mana janji setia dulu." Kak Rina meluahkan kebenciannya pada cinta.

"Cinta ni bukan sekadar main-main kak. Tak boleh mudah di bibir. Ia satu amanah, yang jika betul caranya boleh dapat pahala. Berkasih kerana Allah. Akak nak tak cinta yang satu ni. Yang kita tidak akan kecewa dengannya."

"Cinta apa pula ni.. Baru putus cinta nak disuruh bercinta lagi." Nampak marah pula.

"Cintakan Allah SWT, cinta yang dijanjikan Syurga yang pasti kak.. Mengapa cinta dunia yang fana ini nak dikejar sangat sedangkan kita disempurnakan oleh Tuhan untuk menjadi hamba yang mahu bersyukur." Fuh... dapat juga khutbahkan kak Rina yang jarang dengar ceramah agama ni.

"Apa yang dibualkan anak mama berdua ni." Ibunya menjengah di muka pintu, ada satu kelainan yang mencuri perhatian mereka. Betul ke mama ni?

"Subhanallah... mama nak ke mana ni?" Rita cepat menghampiri ibunya yang nampak anggun dengan jubah moden dan tudung litup.
"Penampilan baru mama, ok tak? Bulan Ramadan ni mama nak berubah menjadi lebih baik, mulanya janggal juga nak pakai jubah ni, tetapi apabila melihat koleksi jubah moden yang sesuai, alhamdulillah mama terbuka hati." Syukur akhirnya mama memilih penampilan sebegini, memakai tudung lebih sempurna. Kerana gembira, Rita memeluk ibunya.

Kak Rina juga menghampiri. "Rina pun suka ma, nampak lebih sopan. Kerongsang ni jika lebih besar lagi cantik."

"Sedar tak sedar esok dah mula berpuasa kan, bulan maghfirah dan rahmat kembali. Semoga ada lembaran baru yang lebih bahagia menanti.. Malam ni kita sama-sama pergi solat tarawih nak." Rita terasa seronok untuk melalui bulan mulia yang datang sekali setahun ini.

"Insyaallah. Itu yang mama nak beritahu tadi."
kak Rina pula nampak sugul. "Janganlah macam ni, nanti Rita pakaikan akak tudung yang cantik." macam tahu-tahu pula kegusarannya.
"Tak apalah Rita, akak pakai sahaja tudung Rita tu." Biar betul.
"Oh ya ka? nampaknya raya nanti kena beli tudung lebihlah."

Masing-masing terasa gembira hendak mengisi bulan mulia dengan amal soleh. Rindu dengan bulan ibadah yang dijanjikan pahala berganda. Indahnya kasih Tuhan, apabila ada sinar petunjuk yang memberi kefahaman untuk memilih sebaik-baik jalan.
……….

“Kak Rina….! Cepatlah, dah lama kita tunggu ni.” Melolong Rita memanggil kakaknya, Kasihan Sara terpaksa bertandang awal ke rumahnya semata-mata ingin pergi membeli barang bersama.

“Apa yang kak Rina kau ni buat, janji nak keluar sebelum pukul 9. Ni dah pukul 10. Kalau aku yang lambat tadi, bimbang ditinggalkan pula..” Sara mula merungut, dia ni jarang lambat dalam menepati masa, nak cepat je tahu. Tahu-tahu ni tertinggal, tu tertinggal.

“Kau ni nampak sempoi je, mana beg? Takkan nak berlenggang je. Tepon besar kau tu letak mana?” Rita memerhatikan temannya itu, baru ingin menyedarkan.

“Yelah, aku letak mana tadi. Bila pula aku kena ragut, eh tertinggal atas kerusi di rumah la… alamak, Rita aku balik ambil beg kejab. Tunggu tau!” Kelam kabut Sara bergegas ingin mengambil begnya.

Hahahaha…. Rita ketawa dalam hati.
“Kau tunggulah depan rumah, nanti kak Rina datang jemput.” Pesan Rita.

“Rita! Sesuai tak akak pakai tudung macam ni…” Kak Rina akhirnya muncul dengan pakaian kasual dan tudung berpintal… Alahai kesiannya, buat apa susah-susah pakai tudung senget macam tu.

“Tak sesuailah kak, mana tudung yang dibeli haritu, tak payah buat lilitan, sarung je. Warna pelangi pula tu, selapis cukup.” Rita menyarankan tudung yang lain untuk ke Bandar.

“Berjam-jam akak pakai tudung ni kau kata tak sesuai… Waaa… Malaslah macam ni.”
Eh kak Rina ni, macam budak-budak.

“Malas apa pula, cantik dah ni… pandai akak pakai tudung, jom kita pergi. Hari dah naik panas ni..” Rita mengipas-ngipas tangannya ke muka.
“Betul cantik?” Kak Rina seperti belum berpuas hati.
“Betul…..” jawab Rita sambil menggeleng.

Kereta dihidupkan dan vrommm… pon, pon.

Bergegas Sara naik di belakang, “Hai kak Rina, assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam… hah dah tak ada apa yang tertinggal?”
“Tak ada dah rasanya, tinggal angin je tadi.”
“Kau ni, mujur tak melepas dalam ni.”
“Aku gurau jela…”

Masing-masing diam seketika sambil mendengar alunan nasyid dan zikir yang dipasang Rita.

“Tak sangka kak Rina pakai tudung labuh sekarang ni, cuma kurang sesuailah…”Sara menegur jujur.

“Biarlah orang nak kata, janji kita faham nak menutup aurat.” Lembut pula tutur kak Rina.

“Tak sesuai sebab, baju kak Rina tu lengan singkat… Nampak juga aurat.” Sara mencuit sikunya.

“La singkat ke, macammanalah boleh tak sedar.. Tudung kau tu pun singkat Sara, menonjol je tengah tu...” Kak Rina menoleh sekilas, Rita terkedu pula dengan mereka ni.

“Sebenarnya pakaian kita ni jangan terlalu menonjol, jadi perhatian nanti. Kamu berdua ni sebenarnya masih belum menepati cara menutup aurat yang sempurna.” Rita baru ingin mengulas.

“Kenapa tak tegur awal-awal… jadi berdosalah ni…” Kak Rina bertukar cemas.

“Takkan kamu ni tak tahu?” Rita merasa sangsi, kalau tahu mereka ni ambil berat soal menutup aurat, senanglah cerita, silap juga tadi tak tegas menegur.

“Balik-balik, kita tukar pakaian lain Sara. Akak tak nak berdosa.”
Kak Rina segera menukar laluan untuk berpatah balik, dah insaf benar ke mereka ni… Penat betul nak ajak keluar.

Masa dirasakan seperti terlalu cepat berlalu, tidak semua kehendak dapat dipenuhi, setiap sesuatu kerumitan yang menyapa, kesilapan yang ditempa dan kesakitan yang diterima semuanya ada nilai yang indah sekiranya diterima dengan sabar, syukur dan redha…. Alhamdulillah.

**********